KISAH BENAR: SECEBIS CERITA DUKA DARI GANGNAM
oleh Mohamad Sidik pada pada 7hb Oktober 2012 pukul 12.14
ptg
Malam tadi setelah keluar dari masjid seusai selesai solat
Isyak di masjid berdekatan dengan rumah, saya berjalan kaki seorang diri pergi
ke sebuah kedai makan untuk makan malam. Pengunjung di kedai makan yang saya
tuju itu agak ramai dan boleh dikatakan hampir kebanyakan meja di kedai
tersebut sudah penuh. Saya memilih untuk duduk di salah sebuah meja di bahagian
paling hujung seorang diri yang ketika itu tiada orang di meja tersebut.
Apabila pelayan datang saya pun memesan makanan yang saya mahu. Selepas
beberapa ketika pelayan tersebut pergi datanglah pula seorang gadis muda
berkulit cerah berjubah dan bertudung hitam gaya wanita Arab ke meja saya
seraya bertanya,
"Tuan, boleh saya duduk di sini..? Kamu lihat,
tempat-tempat di meja lain semua sudah penuh.."
"Oh, ok.. tak mengapa. Silakan duduk.." jawab saya
agak terkejut dengan sapaan gadis itu. Perbualan kami dalam bahasa Inggeris.
Kemudian pelayan datang kepadanya dan dia hanya memesan
'fresh orange' untuk minuman. Apabila pelayan pergi saya memberanikan diri
bertanya kepadanya dengan rasa pelik, "Kamu seorang diri sahaja? Dan kamu
kelihatan bukan orang Malaysia, bukan?"
Dia mengangkat wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya
lalu menjawab dengan tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya
ingin ke rumah seorang kawan.."
"Oh Korea Selatan.. sekarang negara itu sedang 'famous'
dengan tarian Gangnam Style.." jawab saya spontan bersahaja sambil
tersenyum dan menganguk-angguk sendirian tatkala mata gadis itu kembali ke
telefon pintarnya sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas skrin sesentuh dan
kadangkala dia juga tersenyum seorang diri melayan sesuatu dari telefon
pintarnya.
"Gangnam Style..? Apa yang kamu tahu tentangnya.. ia
tarian yang dilaknat Tuhan. Saya menganggapnya diilhamkan oleh Iblis kepada
artis itu." jawabnya dengan nada yang tegas dan berani.
"Oh ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung
perasaan kamu.." jawab saya serta-merta.
Perbualan terhenti seketika beberapa lama. Selepas kira-kira
15-20 minit pelayan kembali datang dengan membawa pesanan saya dan minuman
gadis itu.
"Kamu mahu tahu apa yang saya tahu tentang
Gangnam?" tanya gadis kembali itu kepada saya.
"Jika kamu berminat untuk bercerita kepada saya, saya
akan mendengarnya…" jawab saya dengan tenang sambil mula menghirup jus
tembikai susu yang saya pesan.
"Ok sekejap beberapa minit, selepas saya membalas
mesej-mesej ini.." jawabnya sambil jari-jemarinya ligat bermain di dada
skrin telefon pintarnya.
Saya hanya mengangguk-angguk sambil mengangkat kening dan
mula menyuap makanan dengan sudu ke dalam mulut walaupun saya sedar bahawa
memakan dengan menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah Rasulullah SAW.
"Baik, sekarang saya akan bercerita tentangnya.. ia
sesuatu yang menarik tetapi pelik dan menakutkan." kata gadis itu kembali.
"Ok, seakan-akan ada satu perkara besar yang kamu ingin
sampaikan kepada saya." jawab saya kembali sambil mulut mengunyah nasi.
Kemudian dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas
lalu memulakan ceritanya kepada saya,
"Di Gangnam ada satu pertandingan pelik yang diadakan
untuk gadis-gadis muda untuk menjadi perempuan-perempuan simpanan bagi
orang-orang kaya dan para jutawan. Kebanyakan gadis muda yang menyertai
pertandingan tersebut adalah mereka yang ingin mencuba nasib apabila gagal
mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja untuk menikmati hidup mewah
bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan dengan hadiah yang sangat lumayan,
kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar seperti istana dengan kolam renang
jika memenangi pertandingan tersebut."
Kemudian dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman
'fresh orange'.. dia diam dengan agak lama tanpa berkata apa-apa.
"Ok, kemudian..?" tukas saya lagi ingin tahu.
"Oh, ia sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya
hampir tidak mahu menceritakannya kepada kamu. Tapi saya akan cuba ceritakannya
juga agar kamu dapat tahu apa kisah benar yang berlaku.." sambungnya lagi.
"Iya, sila sambung lagi... saya memang ingin tahu
tentangnya." balas saya lagi.
"Ok... Pertandingan itu, untuk sampai ke tempat
pertandingan tersebut, para peserta yang terdiri daripada perempuan-perempuan
muda yang cantik masing-masing dikehendaki menunggung seekor kuda kira-kira 500
meter dari tempat para peserta berkumpul ke tempat pertandingan yang merupakan
sebuah istana besar dan mewah milik seorang jutawan di Gangnam. Kamu bayangkan,
mereka semuanya menunggang kuda dengan memakai kasut tumit tinggi, baju jarang
dan skirt singkat yang seksi sambil diiringi pihak penganjur pertandingan
dengan helikopter.."
"Setelah sampai di sana mereka disambut oleh pihak
penganjur di istana itu dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan
akan melalui dua laluan yang berbeza. Pertandingannya ialah laluan berhalangan
untuk sampai ke destinasi yang terakhir. Ia seperti pertandingan dalam
rancangan ‘Wipe Out’ di dalam TV jika kamu pernah melihatnya. Setelah sampai di
destinasi terakhir pula, para peserta yang berjaya dari dua kumpulan itu akan
bertarung pula sesama sendiri. Jika pihak lawan tewas maka peserta yang masih
bertahan akan dianggap sebagai pemenang dan mendapat wang bernilai jutaan USD.
Laluan berhalangan itu sangat berbahaya, namun para peserta hanya melakukannya
dengan memakai kasut tumit tinggi dan pakaian seksi mereka sambil disaksikan
dan disorak oleh para jutawan yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari
sebuah ruang balkoni bilik mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti ianya
dirakam ataupun tidak."
Terus-terang, ia adalah pertandingan membunuh diri yang
paling gila…"
"Ok, kemudian.. apa yang berlaku?" tanya saya
mencelah dengan rasa teruja.
"Satu ketika di salah satu trek, para peserta
dikehendaki memanjat palang-palang besi untuk melintasi salah sebuah menara di
istana tersebut, palang tersebut sangat tinggi dan di bawahnya ada kolam
renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan pula menyaksikan aksi-aksi
peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil menikmati hidangan dan minuman
arak yang mahal bersama gadis-gadis mereka."
"Ramai perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah
ketika cuba memanjat palang-palang besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai
dan kepalanya pecah. Ada yang patah tangan dan kaki. Ada yang pecah badannya.
Kolam renang tersebut penuh dengan darah dan ada yang mati lemas ketika jatuh
ke dalamnya setelah gagal untuk berenang keluar dari kolam renang yang dalam
tersebut. Mereka semua para gadis yang tidak berupaya dan mereka sangat
kasihan."
"Yang lebih keji daripada itu, mereka yang tercedera
ketika itu langsung tidak dibantu.. malah dibiarkan sahaja untuk disorak dan
ditertawakan oleh para jutawan yang melihat mereka sepanjang pertandingan.
Akhirnya apa yang saya tahu, hanya dua orang gadis sahaja yang berjaya melepasi
laluan itu daripada keseluruhan 30 orang gadis yang menyertainya... saya
dikhabarkan walaupun dua gadis itu akhirnya berjaya, mereka kini hidup dengan
trauma dan penuh ketakutan di sisi para jutawan gila tersebut. Mereka kini hidup
seperti hamba di dalam istana zaman purba. Tiada tamadun dan tiada akhlak...
hanya menjadi hamba suruhan lelaki-lelaki kaya yang merantai hidup mereka
sahaja. Lebih malang lagi gadis-gadis yang sudah terjerumus ke sana tidak boleh
lari daripada golongan kaya gila itu. Jika cuba untuk lari kemungkinan mereka
akan dibunuh."
Sampai di sini tiba-tiba gadis itu sebak... wajahnya berubah
dan air matanya serta-merta mengalir laju dan menangis teresak-esak.
Saya sudah tentu sangat terkejut dengan perubahannya secara
tiba-tiba itu, dan cuba memujuknya,
"Hey, please don't cry here… people will look to us.
Please calm down. I'm sorry so much to make you telling me this story…"
kata saya kepadanya perlahan dengan suara hampir berbisik.
Namun saya membiarkannya dengan keadaannya itu untuk
beberapa ketika. Kemudian saya berkata kepadanya, "Saya tak tahu apa
sebenarnya yang membuatkan kamu menangis, tapi saya minta maaf banyak-banyak
kerana disebabkan saya kamu menangis. Sebenarnya saya sangat terkejut mendengar
cerita kamu. Ia sesuatu yang sangat dahsyat yang belum pernah saya mendengarnya
sebelum ini.."
Ia ok... ia ok... ia ok... (sambil mengesat air matanya
dengan sapu tangan miliknya)... maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik
tadi. Kamu tahu, salah seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika
jatuh di pinggir lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya sendiri...
Ibu saya membunuh diri kerananya dan bapa saya menjadi gila. Setelah ibu saya
membunuh diri bapa saya sakit selama berbulan-bulan lalu akhirnya meninggal
dunia."
Pada waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya pula
tergumam dan tidak terkata apa-apa… setelah itu dia menarik nafasnya
dalam-dalam lalu menyambung kembali kisahnya,
"Ibu-bapa saya hanya memiliki dua orang anak perempuan
dan adik saya sudah menjadi mangsa kepada nafsu gila orang-orang kaya
Korea."
"Sejurus selepas tamat pertandingan tersebut, saya
dihubungi seorang wanita yang memberitahu bahawa adik saya telah pengsan dan
cedera parah kerana kemalangan dan saya dikehendaki ke hospital untuk
melihatnya. Wanita itu menyatakan dia mendapat nombor telefon saya daripada
adik saya. Apabila saya dan ibu-bapa saya tiba ke hospital, kami dikhabarkan
adik saya telahpun meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut dan mendesaknya
bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya... dan akhirnya
selepas beberapa hari dia menceritakan keseluruhan kisah ini kepada saya.
Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan menangis macam orang
gila kerana tidak pernah menyangka adik saya sanggup menyertai pertandingan
gila tersebut hanya untuk hidup mewah sebagai gadis simpanan orang-orang kaya.
Namun wanita itu berkata ia adalah pilihan adik saya sendiri."
"Beberapa minggu kemudian ibu saya membunuh diri pada
satu malam dengan menelan aspirin sebanyak 200 biji. Keesokan harinya ibu saya
koma dan apabila saya dan bapa menghantarnya ke hospital, pada malam harinya
dia meninggal dunia. Bapa saya pula selepas itu sakit jiwa sebelum mengalami
sakit tenat yang membawanya meninggal dunia. Saya pula hidup tidak menentu dan
mujurlah masih mempunyai seorang sahabat wanita beragama Islam yang terus
berjuang agar saya dapat meneruskan kehidupan dengan tabah. Berulang-ulang kali
dia mengingatkan kepada saya bahawa kehidupan ini adalah anugerah Tuhan dan
orang yang beriman tidak akan berputus asa."
"Dan kerana itu saya melihat kamu kini sebagai seorang
Muslimah..?" saya mencelah ceritanya.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya
itu telah membawa saya berjumpa dengan seorang imam di bandar Seoul untuk
memulihkan semangat hidup saya. Imam itu mula bercerita kepada saya tentang
Allah, Islam dan Nabi Muhammad. Saya menerima segala ajarannya dengan lapang
hati seakan-akan ia satu-satunya pilihan yang ada. Benar, Islam adalah satu
cahaya yang sangat terang seperti matahari dan mendamaikan seperti bulan
purnama yang kembali menyuluh seluruh hidup saya dan saya terus berubah kepada
agama ini tanpa ragu-ragu. Dan kamu tahu tak, jiwa saya berasa sangat-sangat
tenang dan damai ketika mendengar ayat-ayat Al-Quran yang berkumandang di ibu
pejabat markaz Islam di bandar Seoul. Imam itu salah seorang ahli pengurusnya.
Saya tidak pernah mendengar muzik-muzik yang sangat indah seperti ayat-ayat
Al-Quran sebelum ini dalam hidup saya."
Kini suara gadis itu kembali gagah seraya berkata,
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diselamatkan Tuhan dan kembali
dihidupkan semula sebagai seorang Islam setelah saya kehilangan segala-galanya
akibat kekeringan jiwa masyarakat dunia terutama masyarakat Korea yang hidup
sesat tanpa agama. Mereka semua telah sesat tanpa panduan hidup yang benar
daripada Tuhan."
Setelah itu dia diam dan meminum minumannya...
"Kisah kamu amat menarik tetapi menakutkan. Adakah kamu
sudah mengambil tindakan undang-undang bagi pihak adik kamu, atau melaporkannya
kepada media atau berbuat sesuatu?" ujar saya kembali kepadanya.
"Lupakan sahajalah, saya sudah melaporkannya kepada
pihak polis, sudah menceritakannya kepada beberapa orang wartawan dan
melaporkannya secara bersumpah kepada beberapa orang peguam. Pihak polis enggan
melakukan pendakwaan kerana tiada bukti-bukti yang kukuh mengenainya. Tiada
video dan tiada saksi-saksi lain yang mahu tampil kepada pihak berkuasa selain
saya. Mungkin ada namun ia tidak memadai. Wanita yang membawa adik saya ke
hospital itu juga sudah menghilangkan diri. Saya cuba menghubungi nombor telefon
bimbitnya berali-kali namun dia tidak dapat dihubungi. Kali terakhir saya
mendengar tentangnya melalui seorang peguam yang mendapat khabarnya daripada
seorang detektif polis ialah dia sudah meninggal dunia akibat kemalangan. Para
peguam lain dan wartawan yang saya ceritakan kisah ini kepada mereka kesemuanya
telah diugut untuk tidak mendedahkannya kepada umum. Mungkin begitu juga yang
terjadi kepada mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana pula menyatakan
gadis-gadis yang meninggal dunia akibat cedera parah itu adalah kerana rabung
palang-palang besi di istana itu roboh ke bawah ketika mereka semua sedang
berada di atasnya kerana ketika pihak polis sampai di sana palang-palang besi
itu sudah pun dirobohkan. Manakala mangsa-mangsa yang masih hidup setelah
kecederaan masih mengalami trauma yang dahsyat dan ada yang cacat seumur hidup
walaupun mereka mendapat bayaran ganti rugi insurans yang banyak. Apa yang saya
tahu mereka semuanya diugut akan dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar
kepada pihak polis. Yang pasti di sana wujud monster-monster besar yang
menutupi kes ini termasuk menteri-menteri kerajaan… ia berkaitan dengan wang
dan kuasa. Dan sudah tentu kamu tahu apa yang wang dan kuasa boleh buat pada
kita." jawabnya lagi dengan panjang lebar yang sarat dengan hujah.
"Oh, ok... ianya sesuatu yang gila pernah saya dengar.
Jadi sekarang berapa umur kamu dan mengapa kamu berada di Malaysia? Dan... apa
yang kamu sedang buat di Malaysia sekarang? Dan lagi… bilakah peristiwa sedih
itu berlaku?" tanya saya bertubi-tubi kepadanya dengan rasa ingin lebih
tahu.
"Kamu agak saya berumur berapa…?"
"Saya tidak mahu mengagak dan saya tidak tahu berapa
umur kamu."
"Kisah sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan
saya tidak mahu sebut apa bulan dan harinya. Cukuplah kamu tahu ia berlaku pada
tahun lepas. Kini saya berumur 29 tahun dan saya di berada di Malaysia kerana
ingin cuba mendaftar kursus bahasa Arab di ******* University dengan sahabat
wanita Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya bertemu-janji dengannya untuk
bertemu di sini. Kami rakan serumah dan dia tadi menziarahi rakan kami orang
Malaysia di kawasan ini. Saya sampai ke sini lewat sedikit dengan teksi.”
jawabnya berterus-terang dengan nada jujur.
"Oh, kamu sungguh berani. Di Malaysia tidak ramai wanita
yang berani naik teksi seorang diri pada waktu malam. Terima kasih kerana
menceritakan kisah ini kepada saya.. saya amat menghargainya dan mudah-mudahan
suatu hari Allah akan membalas dendam untuk kamu dan mangsa-mangsa lain yang
telah teraniaya..." kata saya lagi kepadanya sambil mengangguk-angguk.
"Sudah tentu...! Suatu hari nanti semua orang dan dunia
akan tahu mengenai kejahatan tersembunyi di bandar Gangnam yang dilaknat
itu!" tukasnya dengan nada yang keras.
"Kamu ingat artis yang mecipta lagu Gangnam gila itu
menyukai cara hidup bandar Gangnam..? Saya rasa dia amat sinis tentangnya dan
dia pernah berasa tertekan dengan cara hidup di sana.. namun kini dia sudah
menjadi sebahagian daripada mereka. Semoga Tuhan melaknat mereka semua. Saya
menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas segala kejahatan mereka."
"Whoa... kamu nampaknya sangat marah dengan
Gangnam..." balas saya sambil mengangkat kedua-dua kening dan menyedut jus
tembikai susu yang masih berbaki menggunakan straw.
"Oh, jangan kamu berpura-pura seperti tiada perasaan
dan tidak mempunyai perikemanusiaan.." balasnya pantas kepada saya.
"Tidak, tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati
dengan kisah kamu. Bahkan di sebalik itu, saya dapat melihat kamu seorang yang
tabah, kuat dan berani." balas saya kembali untuk menenangkannya.
"Oh ya, adakah kamu datang sini dengan biaya sendiri?
Bagaimana dengan suami kamu dan kerjaya kamu di Korea?" tanya saya
kepadanya dengan meneka-neka.
"Hahaha, saya masih belum bersuami dan saya telah
menjual segala apa yang saya ada di Korea untuk datang ke sini. Saya mahu
belajar bahasa Arab di sini dan merancang mahu ke Mesir atau ke Islamic Center
di Chicago selepas ini untuk belajar lebih banyak tentang Islam di sana. Kamu
juga tahu, Timur Tengah kini tidak stabil dan saya masih ragu-ragu untuk ke
Timur Tengah. Imam yang mengislamkan saya itu pernah memberitahu saya bahawa
dahulunya dia belajar bahasa Arab dan agama Islam di Syria di sebuah universiti
yang namanya An-Nur." jawabnya dengan reaksi yang kembali ceria sambil
tersenyum.
"Oh dulu saya juga pernah belajar di Syria, dan
universiti itu namanya Universiti Abu Nur." jawab saya.
"Oh benarkah? Ceritakan kepada saya tentang Syria...
saya bertuah bertemu dengan kamu." tukasnya teruja dengan muka yang sangat
gembira.
Sesampainya di sini perbualan kami mula bertukar topik
kepada isu Syria dan pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik lain yang
sudah tiada kena-mengena dengan Gangnam. Saya juga bercerita sedikit sebanyak
tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai membalas kisah hidupnya yang
telah dia ceritakan kepada saya.
Lama juga kami bersembang sejak jam 9.00 malam tadi.
Kira-kira jam 10.30 malam rakan gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan
gadis itu meminta izin untuk pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya
dan memperkenalkan dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah.
Katanya nama mereka berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka di
bandar Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya pula
beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja.
Kedua-dua mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak
pernah menganut sebarang agama di Korea namun kini Allah telah memuliakan
mereka dengan agama Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran
cerita Sofiyyah tentang kisah yang berlaku kepada adiknya di Gangnam. Kebenaran
kisah tersebut saya serahkannya bulat-bulat kepada Allah. Namun saya berminat
untuk kongsikan kisah ini kepada para pembaca agar para pembaca dapat membuat
penilaian sendiri. Kisah tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar. Namun,
di sebalik kisah yang saya pindahkan daripada Sofiyyah ini, dapatlah kita
mengetahui sesuatu dan menjadikannya sebagai pengajaran.
Apa yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah, saya
melihat betapa Sofiyyah amat bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang
dikurniakan Allah kepadanya. Dia sanggup meninggalkan negerinya dan menjual
segala hartanya demi mempelajari bahasa Arab di bumi Malaysia bagi memahami
Al-Quran, malah dia bercita-cita untuk terus mengembara bagi mempelajari
ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang pendakwah Muslimah di negara Korea untuk
Islamkan lebih ramai penduduk Korea. Dia seorang yang amat berani, tabah dan
cekal. Lihat saja, bagaimana dia seorang diri berani menyapa seorang lelaki
asing seperti saya di awal kisah tadi. Apa yang saya lihat padanya, tiada
sebarang ketakutan di dalam dirinya dan harapan hidupnya telah seratus-peratus
diserahkan kepada Allah. Dia telah menjual seluruh jiwa dan raganya hanya
kepada Allah semata-mata. Di sebalik kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin
di belakangnya ada seorang murabbi mursyid yang hebat, iaitu sang imam yang
telah mengislamkannya. Biasanya di sebalik orang-orang yang hebat, di belakang
mereka sudah tentu ada para pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di dalam hati
saya berkata sudah tentu peribadi sang imam itu lebih hebat lagi kerana berjaya
membaiki diri Sofiyyah menjadi lebih kuat sepertimana sekarang. Ia bukanlah sesuatu
yang mudah untuk memulihkan, mendidik dan membangunkan jiwa manusia yang sudah
rosak teruk seperti Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi yang gagah
perkasa jiwanya.
Sepanjang berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak
tertanya-tanya di dalam hati betapa kita ini begitu leka dan tidak bersyukur
dengan nikmat beragama Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita sejak
kita dilahirkan ke alam dunia.
Di dalam hati saya sepanjang pulang, "Allahu Rabbi....
alhmdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil kaki saya
sekali-sekala menyepak batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua tangan
dimasukkan ke dalam poket jubah putih kiri dan kanan seraya muka menunduk ke
arah tanah...
Sehingga saat ini saya masih tetap berfikir sendirian, kisah
Sofiyyah ini ialah apa yang saya dengar berlaku di negara Korea yang maju..
bagaimana pula dengan kisah-kisah gelap seperti kisah gadis-gadis Melayu Islam
yang menjadi pelacur kelas atasan di negara kita. Sudah tentu banyak juga
kisah-kisah gelap yang tidak pernah kita dengar tentang mereka. Sebelum ini
saya pernah juga mendengar mengenai kisah-kisah kongsi gelap di negara kita
yang dilindungi oleh orang-orang besar.
Allahu Allah, betapa teruknya manusia menjadi hamba wang dan
kuasa pada zaman ini... Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat...
[Kisah benar ini selesai ditulis semula pada: hari Ahad, 07
Oktober 2012, 10.55 AM]
so,,, interesting x ??
klo interesting ,, follow,, hehe ^_^
tp klo nk share for fb korunk pon leh gak...
gi jer kat fb ak or sng citer copy paste !! hmm ,, okay ??!
kay,, tu jer kot dari ak...
papai,, i will update my blog later !!..
wassalam...
sekian..
No comments:
Post a Comment